Latar Belakang

Jemaah Menteri dalam mesyuaratnya pada 30 Oktober 2002 telah bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Khidmat Negara yang dipengerusikan oleh Menteri Pertahanan untuk mengkaji perkara-perkara berkaitan perundangan, kurikulum, kemudahan-kemudahan dan peruntukan kewangan yang diperlukan bagi pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara.

Kumpulan sasaran yang telah dikenalpasti untuk menyertai program ini adalah terdiri daripada remaja yang lahir pada tahun 1986 atau lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berumur 18 tahun pada tahun 2004.

Adalah dianggarkan terdapat seramai 450,000 orang golongan remaja dalam lingkungan usia ini untuk menyertai Program Latihan Khidmat Negara. Walau bagaimanapun, oleh kerana kemudahan-kemudahan infrastruktur yang diperlukan tidak mencukupi, maka buat permulaan dianggarkan hanya seramai 84,000 orang peserta sahaja yang akan dipilih untuk mengikuti program ini.

 

VISI

MISI

Jabatan Latihan Khidmat Negara

Menjadi Organisasi Terunggul Dalam

Melahirkan Bangsa Malaysia

Memastikan

Program Latihan Khidmat Negara

Dilaksanakan Dengan Cekap Dan Berkesan

 

Fungsi

  1. Menggubal dasar dan peraturan-peraturan mengenai pelaksanaan Program Khidmat Negara.
  2. Menguruskan penubuhan Majlis Khidmat Negara, pelantikan, kemudahan dan faedah untuk ahli majlis sepertimana yang ditetapkan dalam Akta Khidmat Negara.
  3. Menyediakan kurikulum program yang akan dilaksanakan berdasarkan kepada komponen yang ditetapkan.
  4. Merancang penyediaan kemudahan-kemudahan, infrastruktur, keperluan logistik, peralatan-peralatan dan kelengkapan yang diperlukan untuk pelaksanaan Program Khidmat Negara.
  5. Merangka sistem maklumat yang diperlukan bagi menyimpan rekod-rekod semua warga Negara yang berumur 18 tahun pada tahun program latihan dilaksanakan.
  6. Mengkaji dan mencadangkan kaedah pemilihan peserta.
  7. Memantau, mengkaji, menilai dan menyediakan laporan keberkesanan pelaksanaan Program Khidmat Negara.
  8. Membentuk remaja yang mempunyai sifat jati diri dan semangat patriotisme dan cintakan negara.
  9. Merealisasikan hasrat Negara untuk memupuk perpaduan kaum serta integrasi nasional.
  10. Membentuk perwatakan positif kepada remaja menerusi nilai-nilai murni dalam Program Latihan Khidmat Negara. 
  11. Menyediakan Program Latihan Khidmat Negara terancang dengan penyediaan keperluan yang berkesan ke arah mencapai matlamat dasar Latihan Khidmat Negara.