KENYATAAN MEDIA


Bil. 14/17

KENYATAAN MEDIA

MAJLIS PENUTUP PROGRAM LATIHAN KHIDMAT NEGARA (PLKN) 2.0 KUMPULAN 2 SIRI 14 TAHUN 2017 

 

Ayer Keroh, 10 September 2017 - Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) ingin memaklumkan seramai 4,987 orang pelatih PLKN 2.0 Kumpulan 2 Siri 14/2017 di 27 kem PLKN seluruh Negara telah berjaya menamatkan latihan pada hari ini. Majlis Penutup ini telah dirasmikan oleh YB Dato' Sri Mohd Johari bin Baharum, Timbalan Menteri Pertahanan di Kem PLKN Hutan Rekreasi Ayer Keroh, Melaka. Turut hadir bersama adalah YBhg. Dato’ Mohmed Asri bin Yusof, Ketua Pengarah JLKN. Majlis ini telah diadakan serentak di semua kem PLKN yang beroperasi diketuai oleh Komandan Kem masing-masing.

Daripada jumlah tersebut seramai 4,317 pelatih (86.56%) berminat untuk ditawarkan ke Latihan Fasa 2 meliputi bidang seperti Elektronik dan Elektrikal, Automotif, Rekaan dan Fesyen, Multimedia, Minyak dan Gas, dan lain-lain.

Pada majlis ini, seramai 309 orang pelatih telah diraikan dalam perbarisan tamat latihan iaitu 151 pelatih dari Kem PLKN Hutan Rekreasi Ayer Keroh dan 158 pelatih dari Kem PLKN Warisan, Masjid Tanah setelah menjalani latihan selama 8 minggu yang bermula dari 15 Julai 2017. Terdahulu, YB Timbalan Menteri Pertahanan yang membuat pemeriksaan perbarisan turut menyampaikan hadiah kepada pelatih wira dan wirawati terbaik bagi kedua-dua kem ini. Beliau juga menyampaikan sijil tamat latihan kepada pelatih PLKN dan menyerahkan surat tawaran ke PLKN Fasa 2 kepada pelatih yang berjaya.

Pada tahun 2017 pihak Jabatan mensasarkan pengambilan pelatih PLKN seramai 20,000 orang. Setakat ini jumlah pelatih bagi Kumpulan 1 dan Kumpulan 2 adalah seramai 11,972 pelatih. Justeru itu, sasaran  pengambilan pelatih untuk Kumpulan 3 adalah seramai 10,000 orang pelatih.

Kaedah pengambilan adalah dengan menubuhkan Jawatankuasa di peringkat kem dan Daerah dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Pengetua Sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Pejabat Belia Daerah.

Dalam masa yang sama, remaja dan bakal pelatih juga boleh memohon secara sukarela dengan mengisi borang permohonan secara atas talian di laman sesawang Jabatan www.khidmatnegara.gov.my pada pautan e-Perkhidmatan dan klik pada “Permohonan Kemasukan Pelatih Sukarela”. Sebarang permasalahan atau pertanyaan mengenai permohonan pelatih PLKN secara sukarela, boleh hubungi pusat panggilan JLKN di talian 03-4027 4000.

Jabatan ingin memaklumkan bahawa PLKN 2.0 Kumpulan 3 Siri 14/2017 yang merupakan pengambilan terakhir bagi tahun ini akan bermula pada 30 September 2017 sehingga 28 November 2017. Para remaja yang lahir pada tahun semasa (kelahiran 1999) dan 2 tahun sebelumnya (kelahiran 1997 dan 1998) dialu-alukan untuk memohon secara sukarela.

Dalam masa yang sama, Jabatan juga ingin menggalakkan bekas pelatih PLKN untuk menyertai Briged Sukarelawan Khidmat Negara (BSKN) bagi meneruskan kesinambungan daripada pembelajaran di PLKN untuk berkhidmat kepada masyarakat. Pada masa ini jumlah keahlian BSKN adalah seramai 213,078 orang. Jabatan mensasarkan agar semua Alumni PLKN untuk menyertai BSKN.

Kearah merealisasikan hasrat tersebut, Jabatan telah membangunkan satu rangkaian Data Profiling BSKN dengan menggunakan perisian "Online Game - Camp Warriors"sebagai kaedah untuk menggalakkan alumni untuk mendaftar sebagai ahli BSKN. Untuk keterangan lebih lanjut alumni PLKN boleh layari http://contest.khidmatnegara.gov.my/microweb-jlkn/.
 

Jabatan mengharapkan agar pelatih PLKN yang tamat latihan Fasa 1 ini akan dapat mengaplikasikan modul dan latihan yang dipelajari di dalam kem dan seterusnya menjadi role model kepada para belia yang seangkatan dengan mereka dalam masyarakat. 

 

 

Disediakan oleh:

Bahagian Komunikasi Korporat
Jabatan Latihan Khidmat Negara
Kementerian Pertahanan Malaysia

Tarikh: 10 September 2017

Kemaskini Terakhir: 09 Januari 2018  Spacer | Spacer Hits: 108

Layout space

Senarai Berita

1 - 2 - 3 - 4   >


2018 © Hakcipta Terpelihara Jabatan Latihan Khidmat Negara
Paparan terbaik, 1024 x 768 dengan Mozilla Firefox 3+, Google Chrome 5+ and Internet Explorer 8+.