Direktori
KENYATAAN AKHBAR


KENYATAAN AKHBAR BERHUBUNG KEPUTUSAN
MESYUARAT MAJLIS LATIHAN KHIDMAT NEGARA
BILANGAN 4 TAHUN 2006

Berikut adalah perkara yang telah diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN) yang diadakan pada 10 Oktober 2006 di J abatan Latihan Khidmat Negara (JLKN).

1.         Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Siri 4/2007 

1.1       PLKN Siri 4/2007 diteruskan dengan penambahan jumlah pelatih iaitu  seramai 100,000 berbanding tahun 2006 iaitu 95,000.  Program pemilihan secara berkomputer tersebut telah dijalankan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri pada 10 Julai yang lalu.  Mereka yang dipilih akan menjalani latihan Siri 4/2007 adalah remaja kelahiran tahun 1989.

1.2       Untuk tahun 2007 sejumlah 20% pelatih Sabah dan Sarawak akan dihantar ke Semenanjung dan sebaliknya.  Ini merupakan peningkatan 10% dari jumlah yang dilaksanakan sebelum ini.

1.3       Semua pelatih akan ditempatkan di kem-kem seluruh negara. Semenanjung (65 buah kem), Sabah (7 buah kem) dan Sarawak (8 buah kem).

1.4       Pelatih terpilih akan dipanggil secara rasmi melalui Notis Pemberitahuan Pelatih yang akan di hantar mengikut kumpulan latihan.  Walaubagaimanapun JLKN akan mengiklankan ke semua 100,000 nama yang telah dipilih di akhbar tempatan dalam bulan November ini.  Pada waktu ini  remaja kelahiran 1989  mahupun ibubapa boleh melayari laman web, www.khidmatnegara.gov.my  untuk membuat semakan samada terpilih atau sebaliknya selain menelefon ke JLKN.  Kesemua sekolah telahpun dibekalkan dengan cakerapadat  nama-nama  pelatih PLKN Siri 4/2007 sejak sebulan yang lalu.

2.         Tarikh Perlaksanaan PLKN Siri 4/2007.

2.1       Kumpulan 1:   1 Januari – 11 Mac 2007
2.2       Kumpulan 2  : 18 Mac – 9 Jun 2007
2.3       Kumpulan 3  : 17 Jun – 8 September 2007

3.         Calon Sukarela (1989) Dan Pelatih Yang Telah Luput Tempoh Penangguhan.

3.1       Semua pelatih-pelatih yang telah diluluskan penangguhan sebelum ini dan telah luput tempoh penangguhan 1 tahun akan dipanggil semula untuk menjalani latihan.  Mereka akan dipanggil untuk menjalani latihan dalam Kumpulan 2 atau Kumpulan 3 tahun 2007.  Pada dasarnya asas penangguhan yang diluluskan oleh JLKN adalah :

                        i)          Menduduki peperiksaan utama.
                        ii)         Meneruskan Pengajian
                        iii)        Mengalami kesusahan luarbiasa.

3.2       Sehingga hari ini, JLKN telah menerima sejumlah 416 permohonan untuk menjalani PLKN secara sukarela bagi Siri 4/2007.  Semua pemohon akan dipanggil menjalani latihan dalam Kumpulan 2 atau 3  tahun 2007 bergantung kepada kekosongan tempat di kem-kem.

 

4.         LATIHAN PENDEDAHAN PENGENDALIAN SENJATA COLT M 16 PELATIH PLKN

4.1       JLKN ingin melaporkan bahawa seramai 15,368  dari 16,022 pelatih Kumpulan 3 Siri 3/2006 di 76 buah kem  telah menjalani  Latihan Pendedahan Pengendalian Senjata (LPPS).  Ia bersamaan 96% menembak dan 4% tidak menembak. Sepanjang latihan ia  dikendalikan sepenuhnya oleh anggota tentera terlatih dengan menitikberatkan disiplin dan tahap keselamatan yang tinggi bagi menentukan tidak berlakunya sebarang kemalangan  atau perkara yang tidak diingini.  LPPS telah  melibatkan penggunaan 30 buah lapangsasar ATM, PDRM dan Kerajaan negeri.

4.2       Objektif dijalankan LPPS adalah :

i.          Memberi pengalaman menggunakan senjata bagi memantapkan semangat patriotisme.
ii.         Memantapkan disiplin diri.
iii.        Mempertingkatkan keyakinan diri.
iv.        Menguruskan diri secara sistematik dan teratur.
v.         Bekerja sebagai satu pasukan.

4.3       Hasil Kajian LPPS melalui soal selidik yang dijalankan kepada para pelatih adalah :

                        i.          90% memantapkan semangat patriotisme.
                        ii.         93% memantapkan disiplin diri.
                        iii.        92% meningkatkan keyakinan diri.
iv.        93% menguruskan diri secara sistematik
v.         85% bekereja sebagai satu pasukan

            4.4       LPPS ini akan diteruskan untuk pelatih-pelatih PLKN Siri 4/2007.

5.         Hari Terbuka Kem PLKN
           
5.1       JLKN mengambil maklum terhadap keresahan ibubapa yang menghantar anak-anak mereka ke kem-kem PLKN walaupun  program kini melangkah ke tahun ke empat.  Pada waktu ini para ibubapa dan ahli keluarga diperuntukkan 2 kali sebulan iaitu Ahad minggu pertama dan ke tiga  atau hari Sabtu (negeri di Pantai Timur) untuk  hari lawatan keluarga.  Manakala mereka hanya dikhususkan tempat khas untuk sesi perjumpaan tersebut dan tidak dibenarkan masuk ke kawasan kem atau kawasan latihan.

5.2       Untuk tahun 2007, JLKN bercadang memperuntukkan satu hari dalam tempoh 3 bulan latihan,  agar ahli keluarga dibenarkan melawat persekitaran kem agar lebih memahami kemudahan yang disediakan dan apa yang dilalui oleh para pelatih. Semoga usaha ini akan menolak segala keraguan dan salah faham terhadap PLKN dan akan mendekatkan lagi hubungan ibubapa dan para jurulatih.

6.         Pandangan Meminda Akta  Khidmat Negara

6.1       Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen telah menyuarakan pandangan dan mencadangkan agar dibuat pindaan terhadap hukuman kepada mereka yang ingkar hadir menjalani PLKN dan dikenakan hukuman melaksanakan Khidmat Masyarakat.

6.2       MLKN walau bagaimanapun sedar terhadap pindaan ke atas  Kanun Tatacara Jenayah yang telah diluluskan dan  membolehkan Khidmat Masyarakat diperintahkan ke atas pesalah muda. 

6.3       MLKN berpendirian bahawa Akta Latihan Khidmat Negara 2003 terus digunapakai dan tidak memerlukan pindaan memandangkan adalah kuasa mahkamah untuk menentukan jenis hukuman yang akan dijatuhkan ke atas seorang pesalah; dan perintah khidmat masyarakat  hanyalah satu pilihan tambahan kepada hukuman-hukuman  sedia ada yang boleh dikenakan oleh mahkamah.

6.4.      MLKN berpendapat pelatih ingkar akan terus bertanggungan untuk menghadiri PLKN walaupun dijatuhkan Perintah Khidmat masyarakat seperti yang terkandung dalam Seksyen 18 ALKN 2003 iaitu:

  • Seksyen  18(1) ALKN 2003:

            “Mana-mana orang yang tidak menghadirkan dirinya bagi latihan khidmat negara seperti yang dikehendakinya supaya dibuat olehnya menurut kuasa pemberitahuan yang dikeluarkan oleh Majlis di bawah subseksyen 17(2) melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya”.

  • Seksyen 18(2) ALKN 2003:

“Apa-apa dapatan bersalah di bawah subseksyen (1) berkenaan dengan mana-mana orang tidaklah melepaskannya daripada tanggungan untuk menjalani latihan Khidmat Negara.

6.5       MLKN berpendirian bahawa Akta latihan Khidmat negara 2003 terus digunapakai dan tidak memerlukan sebarang pindaan walaupun terhadap cadangan melaksanakan Khidmat Masyarakat dalam menggantikan hukuman sedia ada yang diumumkan oleh Jawatankuasa Plihan Khas.

6.6       MLKN akan memajukan syor kepada YAB Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan,  agar Akta Latihan Khidmat Negara yang digunapakai terhadap mereka yang ingkar terus kekal.

 

Dikeluarkan oleh:

Jabatan Latihan Khidmat Negara
Kementerian Pertahanan
Kuala Lumpur

Tarikh:11 Oktober 2006

|Utama|Latar Belakang|Bicara KP|Bahagian/Unit|Carta Organisasi| Keratan Akhbar|Kenyataan Akhbar|Galeri| PLKN|

JABATAN LATIHAN KHIDMAT NEGARA
KEMENTERIAN PERTAHANAN
ARAS 8-10 MENARA TH SELBORN
153 JALAN TUN RAZAK
50400 KUALA LUMPUR
DIBANGUNKAN OLEH
BAHAGIAN TEKNOLOGI MAKLUMAT JLKN™
HAKCIPTA TERPELIHARA © 2006 JABATAN LATIHAN KHIDMAT NEGARA
TEL: 03-26873400  FAKS: 03-26873434


PENAFIAN: Jabatan Latihan Khidmat Negara tidak akan bertanggungjawab bagi sebarang kehilangan dan kerugian yang disebabkan oleh penggunaan maklumat yang diperoleh dari laman ini.


PENGUMUMAN
TARIKH PROGRAM

Progam Latihan Khidmat Negara kumpulan 1 siri 4 bagi tahun 2007
pada 1 Januari - 11 Mac 2007

Progam Latihan Khidmat Negara kumpulan 2 siri 4 bagi tahun 2007
pada 18 Mac - 9 Jun 2007

Progam Latihan Khidmat Negara kumpulan 3 siri 4 bagi tahun 2007
pada 17 Jun- 8 September 2007

Semakan Senarai Pelatih Bagi Siri 4/2007


                                           version 1.3